Bukan UMNO, Tapi Pas Toghut – Guru Pondok

Topik Hangat

TELIPOT

Rakyat negeri ini diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan retorik Pas pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) akan datang.

Pengasas pondok Geting Tumpat, Abdullah Sa’amah berkata, rakyat mesti bijak menilai kewibawaan Pas agar tidak tertipu dengan topeng agama yang dibawanya.

“Pas sekarang hanya lebih mementingkan kuasa sehingga sanggup mengkafir dan menuduh UMNO sebagai toghut sedangkan UMNO adalah parti yang tidak pernah mengabaikan kepentingan rakyat, kedaulatan agama dan bangsa,” katanya.

Abdullah mendakwa Pas sebenarnya toghut apabila menolak UMNO yang sungguh-sungguh memperjuangkan agama dan bangsa, sedangkan Pas terang-terangan bersekutu dengan orang yang menolak dasar perjuangan Islam terutama DAP.

“Malah mereka akur apa saja kata DAP. Kita tengok dalam beberapa isu terutamanya berkaitan dengan agama seperti sambutan Maulidur Rasul dan isu penggunaan nama Allah, Pas seolah-olah menyokong DAP,” katanya.

Katanya, UMNO adalah parti yang mendokong kesucian agama dan bangsa malah ia kekal relevan hingga sekarang berbanding pembangkang yang berjuang hanya demi kuasa politik.

“Di Kelantan, apa yang kerajaan Pas buat selepas memikul amanat rakyat selama hampir 22 tahun? Sebagai rakyat kita mesti memandang serius dengan persoalan itu kerana kita (rakyat) sebenarnya selaku pembentuk kerajaan,” katanya.