Fatmi Alu-Alukan Hasrat Kerajaan Negeri Beri Tanah Kepada Bekas Tentera

Topik Hangat

Wakaf Mek Zainab

Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Fatmi Che Salleh mengalu-alukan langkah kerajaan negeri dibawah pimpinan PAS untuk memberi 0.809 hektar tanah kepada bekas tentera yang dilahirkan di Kelantan.

Bagaimanapun, Fatmi mempersoalkan hasrat kerajaan negeri itu yang dilihat sering menabur janji kepada rakyat sejak memerintah negeri ini lebih 20 tahun lalu, namun sering gagal untuk menunaikannya.

“Kalau setakat cakap nak bagi, ia hanya hasrat, belum dilunaskan lagi. Bagi saya, hasrat ini semua orang ada, tapi bagaimana dengan keupayaan (melaksanakannya)?

“Contohnya, perumahan kos rendah untuk rakyat. Saya tahu setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU), ada keluar borang untuk mohon rumah rakyat, tapi sudah lima kali PRU di Kelantan, tapi tak bina pun rumah,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, di sini.

Akbar sebelum ini melaporkan kerajaan Negeri Kelantan telah membentuk satu jawatankuasa yang dipimpin oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar, Mej (B) Md Anizam Abd Rahman berhubung pemberian 0.809 hektar tanah kepada bekas anggota tentera yang dilahirkan di Kelantan.

Fatmi yang juga Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri turut mempersoalkan tanah di kawasan mana yang akan diberikan kepada bekas tentera tersebut.

“Kalau nak beri di sempadan Kelantan-Pahang, kawasan tersebut hanya bukit-bukau. Kalau 0.809 hektar, hanya seluas mana sahaja (untuk dibuat tapak rumah)? “15 tahun dahulu, kerajaan negeri buka satu Ladang Rakyat Dataran Rabuah di Lojing, Gua Musang untuk dijadikan dusun buah-buahan, namun tak mendapat hasil berikutan diancam musuh tanaman,” katanya.

Fatmi berkata, walaupun kepimpinan negara di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sering mengumumkan pelbagai bantuan kepada rakyat, namun perancangan yang lengkap telah dibuat sebelum melaksanakannya.

“Kerajaan di bawah pimpinan Najib, dia hasrat, kemudian buat perancangan sama ada mampu atau tidak untuk dilaksanakan. Sebelum umum mesti lengkap dahulu. Maknanya bukan umum sahaja, tapi tak boleh nak buat selepas itu,” katanya.