Jika Benar, Tindakan MTRK Wajar

Topik Hangat

WAKAF MEK ZAINAB

UMNO Kota Bharu menyokong tindakan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang membuat laporan berlakunya penyelewengan dalam Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berhubung isu air di negeri ini.

Ketuanya, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, sekiranya dakwaan itu benar beserta dengan bukti kukuh tindakan tersebut adalah wajar memandangkan rakyat negeri ini telah dibelenggu masalah berkenaan hampir 22 tahun.

“MTRK ini satu badan NGO yang berpengaruh dan jika tidak mempunyai bukti kukuh tidak mungkin majlis itu berani membuat laporan itu.

“Malah umum sedia maklum bahawa kerajaan pusat sudahpun menyalurkan peruntukan sebanyak RM600 juta bagi menyelesaikan masalah terbabit namun sampai sekarang ia masih gagal diatasi,” katanya.

Pada 20 Mac lalu MTRK telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam AKSB melibatkan peruntukan kerajaan pusat untuk program bekalan air bersih di Kelantan.

Malah, MTRK kini sedang melaksanakan siri penerangan ke serata daerah berhubung isu berkaitan di samping mendesak Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta exco berkenaan, Datuk Md. Anizan Abdul Rahman meletakkan jawatan ekoran gagal mengatasi masalah tersebut sejak 1990.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan tahun lalu, Md. Anizan menjelaskan rakyat negeri ini akan menerima bekalan air bersih pada 2017.

Mohamad Fatmi berkata, tindakan MTRK bukan berasaskan politik sebaliknya atas rasa kesedaran mengenai keperitan rakyat dalam menghadapi sesuatu masalah apatah lagi berkaitan dengan masalah air yang menjadi sumber utama kehidupan seluruh rakyat.

“MTRK merupakan sebuah badan NGO yang tidak terlibat langsung dengan politik jadi bagi saya tidak nampak langsung tindakannya itu berunsurkan politik,” katanya.