GTP Majukan Rakyat

Topik Hangat

WAKAF MEK ZAINAB

Rakyat negeri ini akan dapat menikmati pelbagai kemudahan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sekiranya memilih kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata, segala program yang digariskan dalam GTP seperti masalah tanah tidak akan terganggu dan segala bentuk prasarana akan dapat dilaksanakan dengan mudah mengikut perancangan.

“Setakat ini semua program GTP itu berjalan malah diterima baik oleh masyarakat Kelantan namun jika rakyat memilih BN pada pilihan raya umum ini kejayaan GTP ini akan dinikmati secara menyeluruh.

“Seperti contoh masalah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang sukar dilaksanakan kerajaan Pusat kerana soal tanah yang terletak di bawah kuasa kerajaan negeri sepenuhnya. Jadi masalah ini perlu diatasi,” katanya.

Mohamad Fatmi yang juga selaku Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu berkata, penyediaan rumah PPR kepada rakyat di negeri ini adalah sangat penting memandangkan kebanyakan mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana tetapi ia masih gagal dilaksanakan oleh kerajaan negeri sejak 1990.

“Sebab itu rakyat perlu memahami bagaimana kerajaan negeri perlu seiring dengan aspirasi kerajaan Pusat yang mahu membantu rakyat yang sangat memerlukan pembelaan ini,” katanya.