Jawatan Tetap Untuk Guru Kafa

Topik Hangat

Jawatan Tetap Untuk Guru Kafa

KOTA BHARU

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), akan berusaha untuk mewujudkan skim perkhidmatan kepada seramai kira-kira 5,236 Guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) di negeri ini bagi membolehkan mereka diserap ke satu jawatan tetap dan mempunyai gaji gred S17.

Ketua Pengarah Jakim, Othman Mustapha berkata, bagi merealisasikan rancangan itu, pihak Jakim kini sedang merangka satu draft awal berhubung perkara berkaitan untuk dibincang dengan agensi pusat.

“Ini merupakan satu usaha bagi membela kebajikan guru Kafa memandangkan mereka sekarang ini belum mempunyai sandaran gred.”

“Ia bagaimanapun akan dilakukan secara berperingkat,” katanya ditemui selepas menghadiri majlis wacana ilmu bersama ibu bapa murid dan guru kafa di sini kelmarin.

Program anjuran bersama Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jakim dan Jabatan Pelajaran Kelantan itu turut dihadiri hampir 600 guru Kafa dan ibu bapa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Jakim memperuntukkan sebanyak RM58 juta setiap tahun kepada Kelantan bagi menanggung kos bayaran elaun guru berkenaan di negeri ini.

“Guru terbabit diamanah untuk mengajar Kafa di 416 sekolah di negeri ini membabitkan pelajar seramai 143,505 orang,” katanya.