Pas Halalkan Pertandingan Badan Cantik Mr. Kelantan

Topik Hangat

Pas Halalkan Pertandingan Badan Cantik Mr. Kelantan

KOTA BHARU

Apakah Pertandingan Badan Cantik Mr. Kelantan 2011 dibenarkan oleh Islam? Biarpun hanya penonton lelaki sahaja dibenarkan menyaksikan pertandingan itu tetapi apakah aurat lelaki hanya pada kemaluan dan dubur sahaja?

Itulah peliknya Kerajaan Pas Kelantan. Lagi lama, memerintah makin pening rakyat dibuatnya.Mungkin ini ciri-ciri dasar Membangun Bersama Islam, maka disebabkan itulah Pas Kelantan sendiri menganjurkan Pertandingan Badan Cantik Mr. Kelantan di mana pesertanya hanya memakai seluar dalam dan ditutup dengan secebis kain batik.

Pas Kelantan yang mendakwa berada di bawah kepimpinan ulama, sebelum ini telah mengharamkan penyertaan wanita dalam pertandingan tilawah al-Quran dengan alasan suara mereka adalah aurat.

Sebaliknya, Pertandingan Badan Cantik itu yang diadakan bersempena Sambutan Hari Anak Muda Kelate 2011, jelas menunjukkan puluhan lelaki perkasa mendedahkan sebahagian besar tubuh mereka.Malah, pemakaian kain tambahan pada pinggang setiap peserta masih gagal menutup sepenuhnya aurat mereka.

Walaupun pertandingan itu diadakan dalam dewan tertutup iaitu Dewan Jubli Perak dengan setiap pintu masuk dijaga oleh individu berbaju merah tua, ia tetap ‘menarik’ beberapa penonton wanita yang mengintai-ngintai dari luar dewan.Lebih menarik, terdapat kain rentang di belakang pentas yang memaparkan wajah dua pemimpin Pas Kelantan iaitu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood.

Kelibat peserta yang ‘menayang’ badan mereka di bahagian luar belakang dewan, turut mencetuskan persoalan mengenai peraturan berpakaian menutup aurat di khalayak yang dilaksanakan oleh kerajaan Pas selama ini.

Selain pertandingan badan cantik itu, beberapa acara lain yang diadakan bersempena sambutan tersebut ialah karnival sukan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), pertandingan gusti lengan, perarakan berkuda, bola sepak, perarakan bermotor ‘Yang Berhormat Exco Belia Kita’ dan anugerah Tokoh Anak Muda Kelate 2011.

Sambutan selama dua hari dengan tema ‘Anak Muda Kelate Bermaruah’ dan ‘Memperkasakan Kerajaan Islam Kelantan’ itu, turut menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa komputer riba sebagai tarikan kepada pengunjung.Semakin lama Pas memerintah, semakin jelas wajah-wajah kemunafikan mereka.

Pasti selepas ini ulama-ulama Pas yang diketuai oleh Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang mencari ayat al-Quran dan hadis nabi untuk menghalalkan pertandingan badan cantik ini.Jelas Pas tidak ubah seperti pepatah Melayu, ‘paku dulang, paku serpih, mengata orang, dia yang lebih’.