Pas Parti Kelas Tiga

Topik Hangat

JALAN CHE SU

Parti Progresif Penduduk (PPP) menyifatkan Pas sebagai parti kelas tiga berbanding sekutunya PKR dan DAP.

Timbalan presidennya, Datuk Nik Sapiea Nik Yusoff berkata, ini kerana Pas hanya mempunyai bilangan kerusi paling kecil di dalam pakatan pembangkang.

Katanya, dalam konteks ini, meskipun pembangkang berjaya menguasai Puterajaya pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) akan datang namun parti itu tidak mampu mendominasikan kerajaan di dalam pakatan.

“Pas hanya mempunyai saham yang kecil dalam pembangkang. Dalam keadaan ini sampai bilapun ia hanya mampu menjadi ‘pak turut’ kepada suara yang lebih besar.

“Malah dalam keadaan sekarang pun orang ramai boleh melihat sendiri pedoman itu di mana banyak isu-isu yang berbangkit sebelum ini terutamanya berkaitan agama Pas hanya akur dengan DAP,” katanya.

Tambahnya, bagi menyelamatkan situasi tersebut, rakyat perlu bangkit membuat perubahan agar negara tidak tergadai kepada kuasa politik sempit yang lebih mementingkan parti atau kroninya sahaja.

Dalam pada itu beliau menyeru rakyat negeri ini bersatu menolak fahaman politik yang hanya berjuang semata-mata untuk kepentingan parti tanpa mempedulikan kebajikan rakyat secara menyeluruh.

Katanya, tindakan itu adalah relevan demi kestabilan umum dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi dan sosial.

Beliau melahirkan rasa dukacita apabila banyak isu rakyat di negeri ini gagal diselesaikan meskipun kerajaan Pas diberi mandat mentadbir negeri ini hampir 22 tahun dengan menggunakan slogan ‘Islam’.